Wednesday, October 8, 2003

Keutamaan Bulan Syaaban


Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Sayidatina Aisyah R.A., beliau telah berkata yang maksudnya:

"Adalah Rasulullah S.A.W.. sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Rasulullah akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak dari puasanya di bulan Syaaban." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa ini menunjukkan kelebihan bulan Syaaban dari bulan-bulan yang lain dari segi pemilihan bulan untuk beramal ibadat selain dari bulan Ramadhan.
Selain dari itu, Rasulullah S.A.W. pernah mengumpamakan keutamaan bulan ini dengan keutamaan diri Baginda sendiri ke atas nabi-nabi yang lain. Sabda Baginda yang maksudnya:
"Keutamaan bulan Syaaban ke atas bulan-bulan yang lain adalah seperti keutamaan saya di atas semua nabi-nabi yang lain, sedangkan keutamaan bulan Ramadhan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhluk-Nya."


Amalan-amalan di bulan Syaaban

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:

Memperbanyakkan puasa sunat

Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah S.A.W. lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.

Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

Juga diriwayatkan bahawa sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Barang siapa berpuasa sehari pada bulan Syaaban akan diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi taulan nabi Allah Yusof di dalam Syurga. Di beri pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Allah Ayub dan Nabi Daud. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan bulan Syaaban, dimudahkan Allah atasnya Sakaratulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripada kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripadanya huru-hara Mungkar dan Nangkir, ditutup Allah keaibannya di hari Qiamat dan diwajibkan syurga baginya."

Barangsiapa berpuasa pada awal khamis dibulan Syaaban dan akhir khamis daripada Syaaban, dimasukkan dia ke dalam Syurga. (Hadis Rasulullah yang dipetik dari kitab Al-Barokah.)

Rasulullah S.A.W. bersabda: "Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak dan puasa yang lebih afdal sesudah Ramadhan ialah puasa bulan Syaaban."

Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W.

Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

Bertaubat

Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."
Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.